Followers

Monday 30 April 2012

KaSiH sUcI....


“Adik sanggup dermakan apa saja asalkan abang selamat”, demikian luah seorang adik iaitu Muhammad Muaz Yusof, 13 kepada ibunya, Asma Ismail, 52 sejurus sebelum memasuki bilik rawatan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Kuala Lumpur pada 21 April 2012, Sabtu, bagi menderma darah dan sum-sum tulang belakang kepada abangnya iaitu Muhammad Munawar Yusof, 21, yang menderita leukemia. Namun, Allah S.W.T. lebih mengetahui segalanya apabila Muhammad Muaz telah meninggal dunia jam 6.50 pagi pada dua hari selepas menderma darah A- serta sum-sum tulangnya.

Asma Ismail sebagai  ibu tunggal kepada enam orang anak itu menyatakan bahawa Muhammad Munawar menghidapi leukemia sejak empat bulan yang lalu dan menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian sebelum diarahkan oleh pegawai perubatan untuk menemui pakar di HUKM. “Munawar memerlukan darah jenis A- serta sum-sum tulang belakang dan secara kebetulan arwah mempunyai darah jenis sama dengan abangnya sebelum kami sekeluarga ke HUKM untuk menjalani proses pemindahan darah dan sum-sum,” katanya. Katanya, sebelum memasuki bilik rawatan, dia ada bertanya perasaan arwah menjalani proses itu, namun arwah menjelaskan tidak berasa takut, malah sanggup dermakan apa saja demi menyelamatkan nyawa abangnya. 

Ya Allah, bertapa besarnya pengorbanan seorang adik kepada abangnya. Hubungan yang berlandaskan sebuah kasih sayang dalam sebuah hubungan yang suci dan utuh tanpa boleh dipisahkan oleh sesiapapun melainkan yang hak iaitu Allah S.W.T. Betapa tingginya darjat seseorang itu jika dia mengasihi temannya seperti dirinya sendiri. Ini dapat dikuatkan lagi dengan potongan hadis ini, Nabi S.A.W. bersabda: “ tidak sempurna iman seseorang daripada kamu sebelum ia cinta kepada saudaranya atau jirannya seperti cintanya kepada diri sendiri”.

Islam sendiri telah mengalakkan kasih sayang ataupun mencintai antara satu sama lain selagi meletakkan Allah S.W.T sebagai cinta teragung,diikuti cinta yang kedua iaitu cinta kepada Rasulullah S.A.W. dan seterusnya diikuti oleh cinta sederhana iaitu cinta kepada ibu bapa, anak-anak, saudara-mara, dan keluarga. Islam telah mengiktirafkan fenomena cinta sebagai suatu keperluan bagi manusia, malah menganggap cinta sebagai satu unsur pelengkap dan penyeri kehidupan.

Kesimpulannya, kasih sayang antara sesama manusia amat dituntut dalam agama Islam. Nabi S.A.W. bersabda: “Tidaklah kamu akan masuk syurga tanpa beriman, dan tidaklah iman itu sempurna tanpa berkasih-kasihan sesamamu, inginkah kamu kutunjukkan kepada sesuatu yang apabila kamu kerjakan, terwujudlah saling berkasih-kasihan sesamamu? Semarakkanlah salam antara sesamamu”.Perasaan kasih sayang dan cinta adalah suatu nikmat yang diberikan oleh Allah S.W.T. kepada hamba-hambanya. Jadi kita sebagai hamba-Nya seharusnya mengunakan nikmat yang telah diberikan kepada kita dengan sebaiknya bagi mencapai keredhaan Allah S.W.T. bagi mencapai kebahagian di dunia dan akhirat malah, dijauhi daripada siksaan api neraka.



No comments:

Post a Comment