Followers

Sunday 29 April 2012

bErPeGaNgLaH pAdA TaLi-Nya....


            Kenapa kita terlalu alpa dengan segala tindakan-tindakan musuh Islam dalam menjatuhkan umat Islam. Kita memandang masalah ini seperti tidak akan membawa masalah bagi kita tetapi sedarkah kita ia ibarat barah yang semakin membunuh. Bak kata pepatah Arab “api yang besar itu bermula daripada sumber yang kecil dan jika ia tidak ditangani, maka sumber kecil itu akan merebak”. Di Kuala Kangsar terdapat sekumpulan mubaligh Kristian yang telah menggunakan cara yang licik apabila mereka turut berpakaian jubah dan menunaikan solat Zuhur berjemaah bersama-sama penduduk Islam bagi mendekati mereka yang dipercayai berpotensi untuk digugatkan akidahnya bagi memurtadkan mereka.
            Menurut Datuk Dr. Hassan Ali iaitu EXCO Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Istiadat Melayu dan Kemudahan Awam Selangor berkata “sasaran utama mubaligh itu ialah orang Islam yang miskin, kurang pengetahuan agama, akidah lemah, orang yang berhutang, mereka yang rumahtangganya kucar-kacir, mereka yang menghadapi masalah selepas bercerai, golongan berfikiran liberal dan terbuka serta mereka yang tidak mengamalkan cara hidup Islam. Beliau berkata lagi “Ancaman terhadap akidah umat Islam ini adalah benar kerana di Selangor saja sudah ada satu organisasi khusus untuk memesongkan akidah umat Islam dengan membawa mubaligh yang dilatih secara profesional, berdaya juang tinggi dan mempunyai kekuatan mental dari Barat serta negara jiran untuk masuk ke dalam masyarakat Islam”. Di samping itu, kegiatan ini bukan sahaja sedang giat dijalankan di Sabah, Sarawak, dan Selangor, malah juga sudah menular ke nageri lain di negara ini.“Sejak penubuhan Unit Selamatkan Akidah (USA) di pejabat saya beberapa bulan lalu, ada 51 orang Islam yang sudah menjalani proses pembaptisan dan minum ‘air suci’ sedang dibantu untuk mengembalikan semula akidah mereka,” kata Datuk Dr. Hassan Ali ketika berucap pada program Himpunan Sejuta Umat (HIMPUN) di Dewan Jubli Perak.
           Tidak nafikan dengan mudahnya mereka yang tidak mempunyai akhidah yang kuat dengan  tidak mempercayai dan beriman terhadap nilai-nilai mutlak dalam jiwa setiap umat Islam mudah terpesong dari jalan Allah S.W.T. Betapa halusnya cara yang digunakan oleh mubaligh Kristian ini untuk memesongkan umat Islam dengan cara mendekati secara perlahan dan bersahabat dengan mereka yang berpotensi untuk dipesongkan akhidahnya. Imam Tarmizi meriwayatkan bahawa Nabi S.A.W. bersabda: “Agama seseorang itu berada di bawah pengaruh temannya. Maka hendaklah dilihat siapa yang menjadi temannya.” Ini menjelaskan bahawa jika kita bersahabat dengan orang yang kotor, kekotoran seseorang itu turut terpalit kepada kita. Dan jika kita bersahabat dengan penjual minyak wangi, maka kewangian itu juga turut mewangikan kita. Justeru, perhatikanlah golongan mereka yang mendampingi kita. Ambillah kebaikan darinya dan jangan sesekali terpengaruh dengan kebejatan yang terhasil dari fahaman dan tingkah laku mereka.
Kesimpulannya, setiap umat Islam wajib mentaati dan melakukan segala perintah Allah S.W.T. dan sentiasa menjauhkan diri daripada segala larangan-Nya. Selagi seseorang itu berpegang pada tali Allah S.W.T. bagi mencapai keredhaan-Nya dirinya akan selamat daripada segala siksaan di dunia dan akhirat.  Jika seseorang itu melakukan kebaikan maka ganjaran baik iaitu syurga yang akan dinikmati, sebaliknya jika seseorang itu melakukan kejahatan dan kemungkaran maka dia akan memperolehi azab siksaan di neraka kelak. Sebagai mana firman Allah S.W.T. dalam surah Al-A’raf  ayat 40-42: “sesungguhnya orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami dan menyombongkan diri terhadapnya, tidak akan dibukakan pintu-pintu langit bagi mereka, dan mereka tidak akan masuk syurga, sebelum unta masuk ke dalam lubang jarum. Demikianlah Kami meberi balasan kepada orang-orang yang berbuat jahat. Bagi mereka tikar tidur dari api neraka dan di atas mereka ada selimut (api neraka). Demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang zalim. Dan orang-orang yang beriman serta mengerjakan kebajikan, Kami tidak akan membebani seseorang melainkan menurut kesanggupannya. Mereka itulah penghuni syurga ;mereka kekal di dalamnya”. 




No comments:

Post a Comment